Monday 31 October 2011

Playtime! Building Blocks...


Hari ini kami keluarkan blok-blok simpanan kami dan MAIN! Haris dapat tumpukan sekitar 2-3 minit untuk mengasingkan blok-blok tersebut mengikut warna. Saya gunakan approach yang telah dicadangkan oleh terapistnya. Alhamdulillah, dia mahu mengikut ajakan saya, mengasingkan dan membina blok mengikut warna BIRU, HIJAU dan KUNING. Haris masih tidak boleh bezakan MERAH dan OREN. Tidak mengapalah, asalkan dia mencuba...
Kemudian kami bina blok ikut suka. Walaupun binaan blok Haris tidaklah secanggih kakaknya, tapi we had fun!




Thursday 27 October 2011

5th Visit: All about 'Follow Up"

Hari ini Haris hanya ada OB Therapy sahaja. Jadi hanya Miss Ili yang menemaninya di dalam bilik. Selepas sesi terapi, Miss Ili sempat memberitahu saya Haris perlukan latihan melompat berjarak, sebab dia agak teragak-agak tadi. Begitu juga dengan melompat dari tempat tinggi ke bawah, contohnya dari atas meja ke atas lantai. Hihihi..saya gelihati. Kalau sebelum ini saya sebagai seorang ibu melarang keras aktiviti lompat melompat, nampaknya kali ini saya sendiri mesti turut serta.
Selain itu Haris juga diminta berlatih menggunakan gunting (aaaa...) untuk menguatkan kemahiran motor jarinya. Menyedari reaksi saya, dia mencadangkan saya menggunakan plastesin sebagai pengganti kepada kertas. Lebih selamat. Kemudian Haris juga kalau boleh berlatih berdiri dengan satu kaki, untuk mengukuhkan kemahiran balancing. Nampaknya ke taman tasik lah kita anak-anak. Miss Ili puji Haris. Haris cepat menangkap sesuatu yang mahu diajarkan, walaupun ia sesuatu yang baru. Saya tersenyum lega.
Miss Aimi, Speech Therapist kami sempat juga meminta saya meneruskan follow up untuk speech Haris. Mengajar dia konsep besar kecil, perbezaan sudu, garfu dan pisau. Kalau ada kamus bergambar lebih baik, untuk menambahkan vocab noun Haris. Saya anggukkan kepala. Terasa lelah dengan tugasan yang diberikan, tapi saya mesti kuatkan semangat.

Monday 24 October 2011

Lawatan Haris Yg Keempat: COMING INTO TERMS

Alhamdulillah, saya dan Haris dapat menghadirkan diri untuk sesi terapi yang keempat, walaupun agak kelam kabut pada mulanya. Dalam sesi terapi kali ini, Haris ditemani 2 orang terapist, Miss Aimie Speech Therapist & Miss Ili, OB Therapist. Walaupun saya tidak dibenarkan memasuki bilik terapi, tetapi saya boleh dengar dan mengikutinya dengan jelas.
Kali ini mereka mengajar Haris Konsep Cepat dan Laju, melalui permainan Row Row Your Boat. Antara key words yang diulang2 kepada Haris ialah 'Fast' and 'Slow'.
Kemudian, mereka beralih pula pada Konsep Big and Small, dengan bermainan 2 jenis bola yang berlainan saiz. Yang besar dan yang kecil. Haris diajak membaling dan menangkap bola tersebut, tetapi sebelum membaling atau menerima bola, dia diminta mengira 1 hingga 5 dahulu, untuk mengajar Haris makna 'tunggu' dan 'ambil giliran'. Antara keywords yang digunakan ialah 'Catch, Throw, Count.' Soalan yang sering ditanyakan kepada Haris ialah, "What do you want?", kemudian mengajarnya menjawab, "I want." Memandangkan Haris hanya ada 2 level communication, apabila dia menjawab I want ball pun dah memadai. Tepuk tangan dan pujian Good Boy! membuatkan Haris mahu menumpukan perhatian. Saya tekun mendengar suara Haris bersungguh-sungguh menjawab dan ketawanya apabila diberikan pujian. Rasa sayu saya buang jauh-jauh. Asalkan Haris memberikan respon positif dalam terapinya, saya sepatutnya gembira dan bersyukur.
Kemudian mereka beralih kepada mengajar Haris kemahiran mengasingkan (assorting) barang mengikut warna. Saya sibuk menulis nota2 kecil di sekeping kertas, terutama keywords yang digunakan untuk Haris. Sesekali bila Haris hilang daya tumpuan, mereka akan berkata, 'Listen', 'Look At Me' dan menyebut nama Haris sedikit kuat. Geli hati saya bila mendengar Haris kadang-kadang berkata." Dah siap," apabila tidak mahu meneruskan latihan yang diberikan.
Visit kali ini Miss Aimi dan Miss Ili sangat berpuashati dengan Haris. Alhamdulillah, syukur. Malah, mereka menyarankan Haris sudah boleh menyertai play group pada bulan Disember nanti, supaya dia boleh belajar berkawan dengan rakan2 sebaya dengannya. Berbunga2 hati saya mendengarnya. Walaubagaimanapun, saya ditegaskan supaya tetap berjumpa dengan child psychologist- surat referral dah siap- untuk clinically diagnose Haris.
Saya tarik nafas panjang. Jika ini jalan yang sudah dilorongkan untuk saya lalui, maka saya akan laluinya dengan bersemangat. Untuk buah hati mak, Haris Mustafa.

Saturday 22 October 2011

Apakah sebenarnya autisma dan apakah ciri-ciri kanak-kanak autisma?

Seringkali kanak-kanak yang mengalami Speech Delay dikaitkan dengan autism. Ini adalah kerana antara ciri utama autisma ialah kegagalan dalam berinteraksi.Ada pelbagai penerangan tentang autisma dan kanak-kanak autisma di internet, anda hanya perlu goggle sahaja. Ini saya bawakan penerangan jelas dan lengkap tetapi mudah difahami tentang autisma dan kanak-kanak autisma, hasil tulisan Dr. Miriam Stoppard, di dalam bukunya Complete Baby & Childcare. Saya telah translatekan untuk memudahkan pemahaman semua, tetapi buku ini mudah didapati di mana-mana toko buku besar MPH.

AUTISM
Autism merupakan satu situasi di mana seorang kanak-kanak itu bermasalah mengaitkan kepada situasi sekeliling dan orang sekelilingnya. Dia juga sangat susah menerima sebarang perubahan kepada rutin hariannya, seolah-seolah obsesif mengikutinya. Merupakan satu disorder yang kompleks, dan mempunyai spektrum antara ringan kepada berat. Autism biasanya muncul dalam 3 tahun pertama kanak-kanak, dan boleh dikaitkan dengan kecacatan kemahiran belajar (learning disabilities) lain seperti dyslexia dan kecacatan fizikal seperti epilepsy. Sedikit diketahui tentang autism sehingga baru-baru ini, dan kekurangan perhatian dan kesilapan didikan atau latarbelakang keluarga seringkali dipersalahkan. Kita kini tahu autism disebabkan ketidaknormalan (abnomality) di dalam otak. Ada sedikit kemungkinan daripada genetik. Kekerapan terjadi autism adalah 4 kali lebih kerap pada lelaki daripada perempuan.

MENGENALPASTI
Kerana autism merupakan satu gangguan perkembangan (developmental disorder), ia mungkin mengambil masa sebelum anda menyedari anak anda lain daripada kanak-kanak yang lain. Anda mungkin menyedari bahawa anak anda kurang mahu berinteraksi pada tahun pertamanya tetapi anda mungkin tidak akan mengaitkan ciri ini dengan sesuatu yang lebih berat sehinggalah ciri-ciri lain menjadi lebih jelas. Kebanyakkan ibubapa hanya tahu anak mereka autistik atau ada sesuatu yang tidak kena apabila anak mereka mencecah usia 3 tahun.

KESAN AUTISM
Kanak-kanak yang autism mempunyai kebolehan yang berbeza, tetapi ada 3 ciri utama kekurangan yang mereka semua punyai: Mempunyai masalah untuk bersosial, mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan imaginasi terbatas. Ramai kanak-kanak autisma memperlihatkan tingkahlaku yang berulang dan sesetengah mempunyai memori yang sangat menakjubkan.

Kebolehan Bersosial
Sekiranya autism sangat serius, anak anda tidak akan mengendahkan orang lain di sekelilingnya. Pada bayi, ini ditunjukkan dengan keadaan bayi menangis tetapi tidak boleh ditenteramkan melalui pelukan dan pujukan, sentiasa diam, tidak berinteraksi dengan mata, dan gagal untuk memberi tindakbalas pada ransangan seperti kembali tersenyum, melambai atau melalui mimik muka.
Kanak-kanak autistik akan menunjukkan kekurangan minat untuk berinteraksi dengan orang lain, terutamanya kanak-kanak. Mereka tidak membuat kawan, dan apabila didekati untuk bersosial, mereka berkelakuan tidak sepatutnya; mereka mungkin mengulangi sebahagian percakapan yang baru dibualkan, mereka mungkin agresif, atau mereka mungkin menggunakan bahasa yang mengelirukan.
Dalam situasi yang kurang serius, anak anda mungkin menerima interaksi sosial tetapi mungkin tidak terlalu responsif atau memberi responsif dalam keadaan kaku dan berulang.

Komunikasi
Dari umur yang awal kebanyakan kanak-kanak menunjukkan keinginan untuk berkomunikasi dengan orang lain. Malah, sebelum mereka boleh menyebut perkataan dengan betul lagi mereka sudah cuba berinteraksi menggunakan mimik muka dan pergerakan badan. Kanak-kanak autistik tidak berkeinginan sebegini. Walaupun anak anda bercakap, dia bercakap pada orang, bukan dengan orang, atau dia hanya bercakap apabila mahukan sesuatu. Anak anda mungkin mempamerkan echolalia (mengulangi perkataan yang baru didengarinya) dan dia mungkin menggunakan sesebuah perkataan atau prasa secara berulang atau tidak sesuai dengan keadaan. Menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak autistik untuk keliru dengan penggunaan kata ganti nama 'saya', 'awak' atau 'dia'.

Imaginasi
Seorang kanak-kanak yang autistik tidak menggunakan imaginasinya apabila bermain dengan permainannya, dan daripada menerima keseluruhan barang mainannya, dia menjadi terlalu tertarik dengan satu bahagian kecil mainan tersebut. Contohnya, apabila sedang bermain dengan keretapi mainan, dia akan menumpukan perhatian pada satu bahagian kecil keretapi tersebut, seperti rodanya, atau gerabaknya, daripada menggunakan keretapi mainan tersebut secara keseluruhan.
Sesetengah kanak-kanak autistik ada melibatkan diri dalam aktiviti imaginasi, seperti membaca, tetapi ini merupakan kelakuan stereotype dan berulang. Contohnya, anak anda mungkin membaca satu buku berkali-kali.

Kelakuan Berulang
Kelakuan berulang mengetuk, rocking, menghantuk kepala, mengetap gigi, mendengus, menjerit, memetik jari, memusingkan objek, dan berdiri dan melompat satu kaki ke depan dan ke belakang merupakan antara kelakuan kanak-kanak autism. Jenis kelakuan berulang yang anak anda lakukan akan bergantung kepada kebolehannya. Kelakuan yang lebih sofistikated termasuk mengatur objek dalam aturan yang kompleks dan berulang, dan mengumpul sesuatu objek yang sama dengan banyak. Anak anda mungkin akan tertarik dengan sesuatu topik dan akan bertanya soalan yang sama berkali-kali dan meminta anda menjawab jawapan yang sama berkali-kali. Anda akan menyedari anak anda sukakan rutin yang berulang, termasuk yang tidak masuk akal, untuk diambilkira. Contohnya, dia mahukan aturan aktiviti yang sama dilakukan sebelum dia masuk tidur.

Memori
Sesetengah kanak-kanak autistik mempunyai kebolehan menyimpan memori dan mengingat semula sebagaimana ia mula-mula difahami dan hasilnya boleh mengagumkan. Seorang kanak-kanak autistik mungkin berkebolehan melukis sebuah bangunan dengan sempurna sebagaimana dia lihat sebelumnya ataupun mengulangi keseluruhan perbualan atau senarai maklumat.

KEPERLUAN KHAS
Keseriusan keadaan anak anda bergantung pada beberapa faktor: Samada dia mengalami learning disorder yang lain, contohnya dylexia; samada dia turut mempunyai kecacatan fisikal, contohnya epilepsy; jenis pendidkan yang dapat dia perolehi; dan personalitinya atau keadaannya, yang turut memberi kesan bagaimana dia bertindakbalas pada kekurangannya. Adalah amat penting untuk mengenalpasti autism dan ketidakupayaan lain yang saling berkait seawal mungkin supaya keperluan anak anda dapat dipenuhi.
Di Malaysia, anda boleh mendapatkan bantuan di hospital kerajaan sebelum dirujuk pada badan-badan organisasi yang menjurus pada Autism, seperti NASOM. Bergantung pada keseriusan autism anak anda, dia masih lagi boleh pergi ke sekolah biasa di mana dia mendapat bantuan tambahan, atau dia perlu ke sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan dalam pembelajaran atau perkembangan.

Friday 21 October 2011

Lawatan Haris Yg Ketiga: PUASHATI


Semalam saya dan Haris ke Ethos untuk terapinya yang ketiga. Visit kali ini sangat memuaskan hati, terapist Haris puashati, Haris puashati dan saya pun puashati. Terapist Haris puashati kerana dia memberikan response yang positif pada ransangan yang diberikan sewaktu terapi. Haris pun hanya nangis sebentar sewaktu memasuki bilik terapi, selepas diberikan Brushing Technique, dia tenang dan relax semula. Daripada sengihnya yang lebar juga, saya tahu dia juga puashati. Dia tidak mengelak apabila diajak bersalam dan maintain eye contact semasa duduk bersama.
Saya pula sangat berpuashati dengan visit kali ini kerana saya dapat mengutarakan satu persoalan yang selama ini menghantui saya. Lebih-lebih lagi kali ini Dr. Norazizan ada, soalan itu akhirnya dapat dijawab dengan jelas sekali.
Pertanyaan saya: Adakah Haris autistic? Dan dengan tenang dan jelas, Dr. Norazizan menjawab, Ya, dia autistic. Cuma kita tak tahu dia di spectrum mana. Minggu depan kita akan siap tulis evaluation report dan akan refer dia ke child psychologist yang puan preferlah, samada PPUM, PPUKM ataupun yang dekat ni SJMC.
Saya terdiam. Melihatkan diam saya Dr. Norazizan terus mengingatkan saya bahawa anak-anak autistic masih berpeluang untuk menjalani hidup seperti anak-anak normal yang lain. Saya terus katakan, saya terima kalau dia autistic, cuma suami saya ada masalah nak terima. Sebab itu saya tanya bila kami boleh dapatkan satu clinical diagnose untuk pastikan dia autistic atau tidak. Sebab setiap kali Haris menunjukkan sikap positif, suami terus mengharap bahawa Haris akan jadi seperti budak lain apabila dia pandai bercakap. Bukanlah saya nak sangat Haris autistic, tapi demi kebaikan Haris juga, sekiranya kita sudah tahu Haris tergolong di mana, maka senang untuk kita lorongkan jalan terbaik untuk dia. Alhamdulillah, Dr. Norazizan faham. Ya, hari tu masa saya jumpa suami puan, memang nampak dia garang, tapi sewaktu terapi, dia memang berhati lembut.
Saya juga dicadangkan untuk mengadakan Food Testing untuk Haris. Untuk menentukan samada dia sensitif dengan sesetengah makanan, yang jika dimakan, akan menganggu proses maklumat dalam otak, atau mendatangkan kesakitan kerana dia tidak boleh memberitahu. Haris hyposensitive, satu ungkapan yang masih asing pada saya. Saya berjanji kepada diri sendiri untuk mencari maklumat lebih terperinci di internet, supaya lebih memahami keadaan Haris.
Visit kali ini juga memberi peluang untuk saya berbual dengan seorang ibu yang seangkatan dengan saya, dia datang bersama anak comelnya Sarah. Sebaya dengan Haris. Seperti Haris, Sarah juga autistic, tetapi ketika tantrum, si comel itu akan menghentakkan kepalanya berkali-kali untuk menunjukkan kekecewaannya. Saya terlihatkan dahi Sarah yang masih merah kesan hentakan. Ya Allah, tabahnya ibunya menghadapi keadaan itu. Ibu Sarah kelihatan sangat tenang menceritakan perihal Sarah. Sarah juga hanya makan nasi dan fries, tidak akan menyentuh kalau nasi tersebut berlainan warna. Sarah sangat sensitif dengan unsur susu, (ada satu unsur yang saya tidak dapat tangkap ungkapannya, glucoma-) akan menyebabkan dia tantrum. Ibunya sanggup membuat biskut sendiri supaya anaknya bebas unsur tersebut tapi dapat menikmati biskut. Subhannallah, apabila saya ingati kembali, begitu kuat kasih seorang ibu. Ibu Sarah juga mempunyai anak2 lain seperti saya, 2 dan berusia lebih kurang sama dengan anak2 saya juga. Pasti beban saya juga dirasainya.
Saya insaf dan bersyukur. Keadaan Haris jauh lebih baik daripada Sarah. Alhamdulillah atas pertemuan yang tidak dirancang itu. Saya gengggam erat tangan ibu Sarah sebelum meninggalkan centre itu. Sambil pimpin Haris yang tersengih2, saya kuatkan hati dan tanamkan azam, semoga Allah bersama2 saya dan Haris. Bersama2 kami sekeluarga.
InsyaAllah.

Wednesday 19 October 2011

Apa perlu saya buat sekiranya anak saya mengalami Speech Delay atau Languange Disorder

Cara terbaik menangani masalah ini adalah mengambil pendekatan step by step approach:
1. Berjumpa dan berbincang dengan Pakar Pediatrik
Langkah yang paling penting ialah berjumpa dengan pakar pediatrik anak-anak kerana mereka mempunyai panduan asas pediatrik tentang perkembangan bahasa pertuturan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, setiap pediatrik akan mempunyai pendapat sendiri tentang bagaimani menangani masalah tersebut.
Biasanya pediatrik akan menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' terus dirujuk kepada pakar. Walaubagaimanapun, kerap naluri hati ibubapa yang merasakan anak mereka mempunyai masalah pertuturan adalah betul. Tambahan pula, early intervention sangat penting untuk mengelakkan anak-anak mengalami masalah perlakuan pula, yang amat berkait rapat dengan kekecewaannya kerana tidak dapat berkomunikasi seperti kanak-kanak lain. Temper tantrums, membaling, memukul dan perlakuan ganas merupakan antara perlakuan negatif yang bakal dialami anak sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan cara berkhemah dari awal.
Lebih-lebih lagi pakar bahasa (speech/language pathologist) akan memberikan cadangan2 berfaedah kepada ibubapa sehinggalah anak tersebut membuat perkembangan dalam pertuturannya.

2. Menjalani Hearing Test/ Screening
Selepas anda dan pakar pediatrik anda bersetuju yang anak memang mempunyai masalah Speech Delay, langkah seterusnya ialah dengan mengadakan hearing test. Ini adalah untuk memastikan anak anda tidak mengalami masalah pendengaran, dan boleh mengikuti speech therapy yang bakal dijalankan kelak.

3. Memilih Tempat dan Pakar Professional
Kerajaan ataupun swasta. Bergantung kepada kemampuan ekonomi ibubapa dan kesanggupan meluangkan masa bersama-sama menemankan anak untuk sesi-sesi terapi tersebut.
Jika anda memilih kerajaan, maka harus diletakkan dalam hati bahawa walaupun hospital kerajaan menawarkan khidmat sebegitu, waiting list sangat panjang (berbulan2), tenaga kerja terhad (bermakna sekiranya dia dipanggil untuk berkursus, temujanji akan ditunda lagi) dan peralatan juga terhad. Ini merupakan realiti hospital kerajaan, namun yang penting anak harus mendapat bantuan seawal mungkin.
Jika anda memilih pusat swasta, maka sangat banyak speech dan language centre, terutamanya di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Bertanyalah pakar pediatrik anda, atau guru tadika anak anda, rakan-rakan anda atau doktor famili anda. Untuk mencari yang terbaik (bermakna mudah untuk datang, mempunyai tenaga profesional yang cukup, berkemampuan) bukanlah sesuatu yang mudah. Word of mouth itu penting.
Anda harus tahu, dan faham, anda sebagai ibubapa penjaga kepada anak yang mengalami speech delay harus komited dengan session yang bakal dijalani. Komited bermakna datang pada masa yang ditetapkan dan tidak asyik menangguhkan sesi terapi ke suatu masa yang lain. Perlu diingatkan bahawa sesi terapi perlu konsisten supaya anak anda mendapat manfaat sepenuhnya. Kekerapan sesi terapi ditentukan selepas anak anda menjalani speech/languange evaluation.

God’s Special Child

I’m sending you a special child, to cherish My name,
For you to love with all your heart, and teach him just the same,
For he is not like others babies, nor will be,
But you can love him just the same, and take care of for Me,
He may not hear, see, run, or learn as others do,
But he’ll be yours and he will take his guidance all from you,
The road is hard, he’ll break your heart, and you’ll cry a million tears,
But I promise when he smile at you, the pain disappears,
I know you’ll cry “why him, why us”, but I need teachers true,
And that is why with the care and trust, I select you,
So please don’t turn back on him, although he may be slow,
If you’ll accept him as he cherish My name, then together you will grow,
He need to learn the skill of life, for that I’ve chosen you,
And with your love to guide him, I know you’ll see him through,
Don’t try to see the future, I promise that to none,
Just live each day for all its worth and enjoy My special one.